Kamis, 10 Februari 2011

assalamualaikum

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun”. [21] Katakanlah lagi; ” Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu. [22] Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya, [23] “(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.”. [24] (Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya. [25] (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut. [26] “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, - [27] “Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). [28] “(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya – (dengan jagaan mereka) – Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu”.

assalamualaikum

`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka? [11] `Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. [12] `Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun). [13] `Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan. [14] `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, [15] ` Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. ‘ [16] (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. [17] “(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar – derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya. [18] “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah. [19] “Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”.

assalamualaikum

Jika ia sebuah cinta…..ia tidak mendengar, namun sentiasa bergetar Jika ia sebuah cinta…..ia tidak buta namun, sentiasa melihat dan merasa. Jika ia sebuah cinta…..ia tidak menyiksa namun, sentiasa menguji. Jika ia sebuah cinta…..ia tidak memaksa namun, sentiasa berusaha. Jika ia sebuah cinta…..ia tidak cantik namun, sentiasa menarik. Jika ia sebuah cinta…..ia tidak hanya berjanji, namun sentiasa coba memenangi. Jika ia sebuah cinta…..ia mungkin tidak suci, namun sentiasa harmoni. Jika ia sebuah cinta…..ia tidak hadir kerana permintaan, namun hadir kerana ketentuan....

assalamualaikum

Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas. Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah itu dibakar hangus. Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang dan mengajar agama di masjid Makkah.
Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.
Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syawkani dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syawkani mengatakan, "dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran berzikir dan mengajar. Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan bangunannyasahaja, tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umapamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum."

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana Abu Jahal menghalang Nabi s.a.w. beribadat di masjid, menghalang baginda ntuk mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid. Jaga keselamatan masjid bukan cara menguncinya. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid.

Satu kekeliruan apabila Islam hanya di masjid.
Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja. Antara sebab lain ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan.

Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah SWT, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid. Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid.

Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah seseiapa yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenarnya ( Surah at-Taubah, ayat 18).

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman. Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah SWT tidak layak untuk memakmurkan masjid dan disebut ayat berikut iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja.

Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah s.a.w. dari tuan guru haji abdulhadi awang presiden pas

Minggu, 30 Januari 2011

assalamualaikum

SUATU hari, tiba-tiba Allah (SWT) SWT menentukan turunnya bala ke atas diri dan keluarga kita. Hati dan perasaan kita mencari dan bertanya, apakah salah dan dosa yang dilakukan? Mengapa begitu susah mententeramkan hati dengan berprasangka baik kepada Allah (SWT) SWT? Kita berusaha memujuk diri dengan satu kefahaman bala dan ujian itu akan Allah (SWT) SWT balas dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang hilang di tangan anda.
Allah (SWT) SWT sentiasa memilih yang terbaik untuk diri kita. Adakah patut kita mendahului Allah (SWT) SWT dalam setiap pilihan-Nya? Manusia berkata dalam hati: “Alangkah eloknya jika begini dan begini.” Adakah manusia itu mengetahui seperti mana Allah (SWT) SWT Mengetahui? Yang sehelai daun gugur di serata bumi ini pun tidak akan gugur kecuali dengan pengetahuan-Nya? Alangkah naif manusia jika ia merasa dirinya lebih tahu apa yang terbaik buat dipilih.
Saidina Umar bin al-Khattab, pernah berputus asa ketika kemenangan Islam tidak muncul. Pada hal di sisi beliau ada Rasulullah SAW. Perasaan putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa kita yang kehilangan dunia, anak atau isteri.
Perasaan putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada Allah (SWT) SWT dan Rasul-Nya. Manakala perasaan putus asa kita mewakili kepentingan dan ego dalam diri sendiri. Umar meratap sedih: “Wahai Rasulullah bukankah kamu utusan Allah (SWT)? Bukankah Agama ini benar?” Rasulullah menguatkan semangat sahabatnya: “Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah (SWT) dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan diriku.” (Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)
Kata-kata keramat Baginda ini sudah selayaknya menghiasi hati orang mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah (SWT) SWT. Jika kita mahu menelusuri selok-belok kehidupan ini, ujian dan cabaran itu sebenarnya membuat anda menjadi lebih kebal. Tidak mudah goyah dan mampu melompat lebih tinggi.
Orang yang memenangi pertarungan itu sebenarnya bukan yang kuat tetapi yang paling mampu menahan sakit. Lihatlah mereka yang berjaya. Di atas kesakitan itu mereka membina kekuatan, rela tidak tidur untuk kerja yang perlu diselesaikan. Mereka yang berjaya begitu disiplin dan menghargai kesakitan yang diderita. Allah (SWT) SWT menguji siapakah yang paling baik imannya dan paling reda dengan qada dan qadar-Nya.
Dr Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan :
“Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud: “Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karat dan tinggal yang baiknya saja.”
Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama:
“Setiap kali aku ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat pahala dari Allah (SWT) SWT kerananya.”
Betapa indahnya ungkapan semangat yang mencerminkan kekerasan hati orang beriman. Seperti mana kata-kata Saidina Urwah bin al-Zubair saat menghadapi sakit sehingga anggota badannya diamputasi dan kematian anak lelakinya:
“Ya Allah (SWT), di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi? Kaki dan tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada mereka. Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau Engkau yang menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.”
Itulah hikmah sebenar mengapa Allah (SWT) SWT menguji, supaya tumbuh jiwa hamba pada diri kita. Tiada ego melampau dan menganggap akulah yang kuat lalu menzalimi orang lain. Kerana ada Yang Maha Kuasa yang serta merta boleh merenggut ubun-ubunnya dan menghapuskan apa saja yang dimiliki.
Firman Allah (SWT) SWT bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad: Mahukah Kami khabar kepadamu orang yang amat merugi perbuatannya? Iaitu orang sesat perbuatannya sewaktu hidup di dunia sedangkan mereka mengira perbuatannya itu adalah kebaikan.” (Surah Al-Kahfi: 103-104).
Manusia merancang, Allah (SWT) menentukan. Jika seorang bapa kehilangan anaknya nescaya Allah (SWT) membalas dengan Baitul Hamdi (sebuah istana khusus di syurga) kerana kesabarannya. Bagaimana pula orang yang cekal di atas bala lebih teruk daripada itu? Balaslah ujian Allah (SWT) SWT dengan lafaz pujian dan syukur kepada-Nya, kerana ia tanda kasih sayang Allah (SWT) SWT ke atas diri kita.

mazhab bag 4Abdul Latif Rahbar

mazhab bag 4Abdul Latif Rahbar    Bukankah imam-imam mujtahid sendiri tidak pernah memaksa sesiapapun untuk mengikut mereka? Dan bukankah Imam Syafie sendiri mengatakan bahawa apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku?  Menjawab persoalan ini, memang benar imam-imam mujtahid sama sekali tidak pernah memaksa murid mereka mengikut mazhab atau pendapat-pendapat yang mereka keluarkan. Tetapi harus diingatkan bahawa imam-imam mujtahid tersebut mempunyai anak murid yang sudahpun mencapai tahap mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membezakan antara dua dalil.  Jadi perkataan Imam Syafie misalnya ditujukan kepada Imam Muzani, perkataan Imam Abu Hanifah ditujukan kepada Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad.  Apabila Imam Syafie mengatakan bahawa, “Apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku,” yang dimaksudkan ialah apabila sahih sesebuah hadis dan ia menepati usul yang telahku istinbatkan dari al-Quran dan sunnah maka itulah mazhabku. Ini dapat kita ketahui sekiranya kita mempelajari usul-usul dan kaedah istinbat yang ditetapkan oleh Imam Syafii rah.a sendiri.    Bukanlah sahih di sini bermakna sahih pada pandangan ahli-ahli hadis semata-mata. Sekiranya maksud Imam Syafie adalah seperti itu maka sudah tentu Imam Syafie akan mengatakan bahawa menyentuh wanita yang bukan mahram tidak akan membatalkan wudhu. Tetapi memandangkan terdapat dalil-dalil lain yang perlu diambil kira, maka langkah selamat ialah dengan mengatakan bahawa ianya membatalkan wudhuk.  Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa kesemua yang kita anggap sahih adalah mazhab Syafie melainkan kita sendiri sudah mencapai darjat Imam Muzani. Pun begitu tidak banyak fatwa Imam Syafie ditolak oleh pengikut beliau walaupun selepas kewafatannya.  Sekiranya maksud kalam Imam Syafie adalah seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak bermazhab, sudah tentu pakar-pakar fiqah dan hadis seperti Imam Nawawi dan Hafiz ibnu Hajar akan mengubah fatwa mazhab Syafie kepada "yang lebih sahih." Tetapi hal sedemikian tidak terjadi dan menunjukkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie bukanlah seperti yang mereka dakwa.  Imam Abu Hanifah sendiri misalnya tidak pernah memaksa Abu Yusuf mengikut mazhab beliau. Tetapi telah diriwayatkan pada satu ketika Imam Abu Yusuf telah melancarkan halaqah ilmunya sendiri, lalu Imam Abu Hanifah menghantar wakil untuk mengajukan beberapa soalan yang musykil kepada Imam Abu Yusuf sambil mengatakan kepada wakil tersebut sekiranya Abu Yusuf mengatakan "Ya" salah, dan sekiranya dia mengatakan "Tidak" pun salah. Akhirnya Imam Abu Yusuf kembali menghadirkan diri ke majlis Imam Abu Hanifah.  Tindakan Imam Abu Hanifah di atas bukanlah untuk memaksa Imam Abu Yusuf untuk bermazhab dengan mazhab Hanafi, tetapi untuk mengingatkan Imam Abu Yusuf bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemukakan ijtihad beliau sendiri walaupun beliau adalah anak murid Imam Abu Hanifah yang paling kanan.  Kesemua yang mempelajari sejarah tentu tahu bahawa Imam Abu Yusuf telah dilantik sebagai qadi besar empayar Abbasiah. Bukanlah calang-calang boleh menjadi ketua qadi pada zaman yang dipenuhi ilmuan-ilmuan berwibawa.    Mengapa hanya mengiktiraf empat mazhab dan tidak lebih?  Pada zaman Baginda s.a.w. para sahabat berpandukan ajaran yang mereka dapat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. sendiri. Dan selepas kewafatan Baginda s.a.w. ramai sahabat yang bertaqlid dengan pendapat mereka-mereka yang rapat dengan Bagida s.a.w. seperti khalifah rashidin, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Namun selepas tersebarnya agama ke seluruh pelusuk alam sahabat berhijrah ke tanah-tanah yang dijajah demi untuk mengajar kepada saudara-saudara baru mengenai Islam.  Mereka menyampaikan apa yang mereka lihat dan dengar sendiri dari Baginda s.a.w. Dan bermulalah zaman penyebaran hadis, dengan tabi’in mula mengembara dan berjumpa dengan para sahabat demi untuk mendapat ajaran sunnah Baginda s.a.w. Demikianlah juga pada zaman tabi’-tabi’in. Ketika itu taqlid terhadap individu tertentu sudahpun berlaku.  Penduduk madinah misalnya banyak bertaqlid dengan pendapat Zaid bin Thabit yang juga adalah penulis wahyu rasulullah s.a.w. Penduduk Basrah dan Kufah bergantung dengan pendapat Ibnu Mas’ud. Penduduk Syam bertaqlid dengan Muadz bin Jabal r.a dan penduduk Makkah dengan Ibnu Zubair r.a. begitulah halnya ummat ketika itu memahami bahawa kita perlu mengikut amalan mereka-mereka yang jauh memahami sunnah baginda s.a.w.  Selepas zaman sahabat sehinggalah abad ketiga hijrah memang terdapat ribuan mujtahidin seluruh dunia. Imam-imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Hasan Basri, Sufyan Thauri, Sufyan bin Uyainah, Syafie, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal, Awza’i, Ishaq bin Rahwayh/Rahuyah dan lain-lain adalah di antara mereka-mereka yang mempunyai ramai pengikut dan muqallid.  Namun selepas abad keempat hanya tinggal beberapa mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Awza’i, dan Zahiri. Mazhab-mazhab lain semakin sedikit pengikutnya memandangkan empat mazhab ini menjadi ikutan di kota-kota utama dunia Islam ketika itu. Hanafi dan Hanbali di Iraq, Maliki di Andalusia dan Afrika, Syafie di tanah Parsi dan di Mesir, Awza’i di tanah Syam dan hanya sebilangan kecil Zahiriyyah iaitu mereka-mereka yang bertaqlid dengan Daud az-Zhahiri.  Selepas abad kelima Awza’i dan Zahiriyyah juga lenyap walaupun pendapat mereka dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka. Dan kekallah empat mazhab sehingga ke hari ini kerana masih mempunyai pengikut dan tradisi ini diamalkan zaman-berzaman. Ummah sejak dulu hingga kini berasa selesa dengan bertaqlid kerana mereka sedar  ketidakmampuan mereka dalam berijtihad.    Dalam tempoh ummah mula bertaqlid iaitu sejak abad ketiga hijrah hingga kini terdapat ramai ulama hadis yang lahir seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Baihaqi, Tahawi, Daruqutni dan lain-lain yang mana ilmu mereka dalam bidang hadis dan agama tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Namun mereka sendiri berasa selesa dengan bertaqlid akan para imam.  Sesungguhnya bertaqlid dengan imam seperti yang dilakukan oleh jumhur ummah dan ulama adalah sesuatu yang amat mustahak lebih-lebih lagi pada masa kini yang penuh dengan kejahilan dan kekufuran. Mereka sudah memudahkan urusan ummah dalam segala segi dan bidang. Memilih untuk berijtihad sendiri dan meninggalkan ajaran mereka yang jauh lebih hebat dari kita adalah sama seperti meninggalkan Mann dan Salwa hanya semata-mata demi untuk mendapatkan timun dan bawang.  Dan Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui.

mazhab bag 3

Kita tidak berijtihad, tetapi kita memilih salah satu dari dua pendapat imam-imam. Bagaimana pula ini dikatakan sebagai ijtihad? Mengapa kita hanya perlu mengikut satu mazhab sahaja? Tidak bolehkah kita mencampur-adukkan semua pendapat dan memilih yang terbaik?

Menjawab persoalan di atas, ijtihad bermakna mengeluarkan pendapat. Apabila terdapat dua pendapat yang berlainan, memilih salah satu dari kedua pendapat itu juga dikira sebagai ijtihad. Ikhtilaf yang timbul antara mazhab hari ini sebenarnya adalah ikhtilaf dan perbezaan pendapat sejak zaman para sahabat lagi.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara dua sahabat, maka imam-imam akan terlebih dahulu meneliti yang mana satukah antara percanggahan tersebut yang lebih menepati syarak.

Hasilnya adalah ikhtilaf yang kita lihat pada hari ini. Imam Abu Hanifah lebih condong dalam memilih pendapat Ibnu Mas’ud misalnya dan Imam Syafie lebih kepada Ibnu Abbas. Tidaklah bermakna mereka tidak mengetahui pendapat sahabat-sahabat yang lain.

Jadi, apabila kita melihat terdapat dua pendapat yang berlainan, maka memilih salah satu ke atas yang lain juga dikira sebagai ijtihad kerana ini jualah amalan imam-imam mujtahid yang terdahulu. Dan untuk kita memilih salah satu dari pendapat tersebut kita mestilah mempunyai dalil dan nas yang cukup di samping mengetahui kesemua dalil dan nas, pro dan kontra masalah berkenaan.

Alasan bahawa kita tidak mengeluarkan pendapat dan masih berpegang kepada pendapat seseorang imam tanpa mengikut imam tersebut dalam lain-lain masalah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Oleh itu sekiranya ada dalam kalangan kita yang mahu berbuat demikian, hendaklah dia fikirkan kesemua jawapan terhadap persoalan yang bakal dibangkitkan dari segi bahasa, usul, hadis dan lain-lain sebelum dia memilih untuk memilih sebarang pendapat kerana inilah yang telah dilakukan oleh mujtahid-mujtahid terdahulu.

Pernah satu ketika Khalifah Harun ar-Rashid mencadangkan kepada Imam Malik agar disatukan kesemua mazhab dan diambil yang terbaik. Jawapan Imam Malik ialah kesemua perbezaan pendapat adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya diambil satu sahaja dari kesemua perbezaan tersebut dan ditinggalkan yang lain sedangkan ada kemungkinan yang ditinggalkan itu sebenarnya tepat maka seolah-olah kita meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Jadi tiada keperluan untuk menyatukan semua mazhab apabila kesemua sunnah Nabi s.a.w dapat diamalkan walaupun oleh berlainan puak.

Majoriti ummah pada hari ini membaca al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim al-Kufi. Seperti yang diketahui umum, terdapat 10 qiraat hari ini yang masih boleh dibaca dalam solat. Di utara Afrika misalnya mereka membaca al-Quran dengan riwayat Qalun atau Warsh dari Imam Nafi’ Madani. Ulama qiraat mengatakan bahawa qiraat yang boleh dibaca pada hari ini hanyalah sepuluh dan setiap sepuluh qiraat tersebut mencapai darjat mutawatir (terlalu ramai bersepakat mengenai cara pembacaannya sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini sehingga mustahil untuk mereka berkomplot untuk menipu mengenainya).

Semua ahli qiraat bersetuju bahawa diperbolehkan untuk membaca kesemua qiraat dalam satu tilawah dengan cara kita membaca setiap ayat beberapa kali di samping mengkhatamkan setiap cara bacaan. Ataupun kita kumpulkan kesemua qiraat tanpa mengulang ayat tersebut berulang kali, sebaliknya menghabiskan setiap qiraat terhadap setiap perkataan. Untuk memahami hal ini lebih lanjut kita bolehlah mendengar tilawah dari Syeikh Abdul Basit atau dari bacaan Syeikh Na’ina misalnya.

Pun begitu ahli qiraat mengatakan ketika tilawah tidak dibolehkan membaca satu ayat dalam sesuatu qiraat, kemudian membaca ayat yang berikutnya dalam qiraat yang lain kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Hal ini disepakati oleh semua sama ada pihak yang bermazhab atau selainnya. Jadi sekiranya kita tidak boleh mengambil qiraat dan membacanya bercampur-aduk dengan sesuka hati, bagaimana pula kita boleh mencampur-adukkan pendapat antara mazhab sesuka-hati?

Mengapa golongan yang tidak bermazhab dalam bidang fiqh bertaqlid dengan Imam Hafs dan Imam ‘Asim dalam bidang qiraat? Mengapa tidak mengatakan bahawa Imam ‘Asim tidak pernah memaksa sesiapun untuk bertaqlid dengan beliau? Mengapa soalan-soalan yang sering diutarakan dalam perbahasan fiqah langsung tidak pernah diutarakan dalam ilmu qiraat?

Sekiranya kita berpendapat perlu kita bertaqlid dengan Imam qiraat, maka tidak dapat tidak kita juga mesti bertaqlid dengan imam-imam mujtahidin.
 ,<fromharakahdaily.net>>30 jan 11